WARKAH TERBUKA BUAT DATO' DR HASSAN ALI
Dr Maszlee Malik
Ahli Akademik Politik Warga
UIAM
Assalamualaikum w.b.t,
Pertama kali aku melihat secara
live Dr Maszlee Malik adalah semasa debat KJ dgn Rafizi. Secara jujurnya aku
tak pernah membaca tulisan beliau sebelum ini.Dr Maslee banyak menulis menerusi
blognya http://maszleemalik.blogspot.com/
Semoga Dato' Dr Hassan Ali
bermuhasabah diri selepas membaca tulisan warkah ini.
ssalamualaykom w.b.t.
YB Dato’ Dr Hasan Ali yang saya
hormati,
Saya kira tidak perlulah saya
perkenalkan diri saya memandangkan Dato merupakan tokoh dan sahabat yang saya
kagumi. Saya kira, Dato’ juga tetap menganggap saya sebagai kenalan rapat Dato’
sekeluarga. Secara ikhlas, saya mula mengkagumi Dato’ sebagai motivator
semenjak saya di bangku sekolah lagi, sehinggalah Dato’ menceburkan diri ke
dalam bidang politik. Walau bagaimanapun kekaguman saya tidaklah menjadi
penghalang untuk saya menyatakan sedikit pandangan terhadap pendirian Dato’
mutakhir ini berdasarkan neraca ilmu dan keadilan. Kesedaran bahawa apa yang
telah Dato’ lemparkan kepada mantan parti Dato’ sendiri, iaitu PAS, di dalam
kenyataan-kenyataan Dato’ di media dan juga lewat ceramah-ceramah Dato’ yang
bercanggah dari amanah keilmuan dan kebenaran, maka saya terdorong untuk
menulis surat terbuka ini.
Sebagai ahli akademik yang
mengkaji bidang gerakan Islam, politik Islam dan juga Usul al-Fiqh, saya berasa
terpanggil untuk mengarang surat terbuka ini kepada Dato’ untuk menilai
beberapa kenyataan Dato’ dari pertimbangan ilmu dan kacamata ilmiah di dalam
bidang pengkajian saya. Saya kira tulisan surat terbuka saya sebagai ahli
akademik ini adalah sebagai tanggungjawab saya kepada kejujuran terhadap
disiplin ilmu yang saya pikul dan bukannya sebagai ahli politik. Saya bukanlah
ahli parti PAS, yang tampil untuk membela PAS dari serangan Dato’. Maka saya
bertegas menyatakan apa yang saya tulis ini hanyalah semata-mata pendangan
orang luar dan ahli akademik yang neutral dan tidak berpihak, baik kepada Dato’
mahupun kepada parti PAS yang telah memecat Dato’.
Saya kira Dato’ mungkin telah maklum dengan
pencapaian gerakan-gerakan Islam moderat di utara Afrika seperti Ikhwan
Muslimun di Mesir, parti Ennahda di Tunisia, parti keadilan dan pembangunan
(PJD) di Morocco dan juga parti-parti Islam lain selepas kebangkitan rakyat
(Arab Spring). Kemenangan kesemua gerakan-gerakan tersebut secara empirikalnya
seperti yang telah dianalisis oleh pakar politik di rantau berkenaan merujuk
kepada tiga perkara utama: ‘Wacana Islam moderat yang segar’; Kesediaan
‘perkongsian kuasa’ (power sharing); dan juga ‘pengaruh di kalangan rakyat’
melalui jaringan kerja kebajikan dan juga pendidikan yang menyeluruh,
berterusan serta meluas.
Apa yang dimaksudkan dengan
wacana moderat yang segar ialah kemampuan gerakan-gerakan tersebut untuk
menawarkan apa yang diperlukan oleh rakyat dan apa yang diperlukan oleh
sesebuah Negara di dalam pendekatan mereka. Wacana moderat juga telah
memperlihatkan bagaimana gerakan-gerakan Islam, tidak lagi memaksakan apa yang
mereka mahukan atau percaya ke atas rakyat tanpa kerelaan majoriti. Maka, di
dalam wacana baru mereka, gerakan-gerakan Islam tidak lagi menawarkan retorik
‘Dawlah Islamiyyah’ (Negara Islam) yang agak bersifat utopia dan tidak tentu
apakah modelnya. Mereka juga tidak menawarkan hukuman jenayah Islam ‘secara
paksaan’ seperti yang pernah dilakukan oleh Taleban di Afghanistan, sebelum
keadaan ekonomi dan kebajikan yang kondusif disediakan di dalam negara mereka.
Mereka juga tidak mempamerkan diri sebagai penghukum, tetapi mereka muncul sebagai
pembawa harapan, pejuang kebebasan dan pelaksana keadilan setelah rakyat
ditindas dan dizalimi selama berdekad-dekad lamanya oleh para diktator. Perkara
ini telah membuatkan ramai dari kalangan pengkaji di barat telah mula
mengatakan bahawa golongan ini telah merubah sikap dan prinsip mereka, lantas
menggelar fenomena ini sebagai post-Islamism (pasca-Islamisme).
Saya konsisten untuk tidak
menyokong istilah pasca-Islamisme yang sarat dengan makna neo-kolonialisme.
Hakikatnya gerakan-gerakan Islam yang terlibat tidak pernah merubah prinsip.
Mereka juga tidak meninggalkan landasan perjuangan, apatah lagi mengubah
pendirian. Apa yang berlaku ialah proses kematangan gerakan-gerakan terlibat
untuk melihat Islam dalam kerangkanya yang lebih luas dan komprehensif.
Kejayaan beberapa individu berlatarbelakangkan Islamis di Turki melalui agenda
neutral AKP, telah menjadi sumber inspirasi gerakan-gerakan tersebut. Wacana
ini juga bertunjangkan konsep Maqasid al-Shariah dan melihat ajaran Islam dari
aspek yang holistik, terutamanya aspek moral dan keadilan. Gelombang perubahan
pada pendekatan inilah yang telah melanda kebanyakan gerakan Islam di seluruh
dunia mutakhir ini, tidak ketinggalan PAS yang Dato pernah sertai dahulu.
Gelombang ini sekaligus melenyapkan pengaruh model Iran yang pernah mendominasi
wacana gerakan-gerakan Islam sedunia dengan melaungkan pembinaan sebuah
republik Islam dan juga pemerintahan mutlak golongan agama (Wilayatul Faqih)
Realitinya kini, gerakan-gerakan
Islam moderat yang wujud lebih memilih ruang demokrasi untuk membawa perubahan.
Mereka juga melaungkan pembentukan negara sivil milik semua warga dengan
menjamin kebebasan politik, penegakan keadilan, hak upaya masyarakat sivil, hak
wanita, tatakelola yang baik, kebajikan rakyat yang terpelihara, ekonomi yang
lebih berdaya saing serta bebas dari korupsi, pecah amanah dan rasuah, serta
perkongsian kuasa bersama rakyat dari segala lapisan dan kumpulan. Menurut
kajian saya ke atas wacana baru PAS, terutamanya melalui konsep ‘Negara
Berkebajikan’, PAS juga tidak terlepas dari arus perubahan ini. Jika Dato’
merasakan pendekatan baru PAS ini bermakna PAS telah meninggalkan perjuangan
Islamnya, saya kira Dato’ tersilap. Perubahan pada PAS bukanlah kerja parasit
sepertimana yang Dato’ dakwa, tetapi ianya merupakan satu dinamisme tabi’i bagi
sebuah gerakan Islam yang matang. Jikalaulah parasit yang telah menyebabkan
perubahan pada PAS, maka pastinya kesemua gerakan Islam di Utara Afrika dan
Asia Barat, termasuk Ikhwan Muslimin di Mesir dan juga parti Ennahda juga telah
dilanda parasit. Timbul dilemma di dalam pemikiran saya, apakah pemimpin dan
tokoh ideolog gerakan Islam sedunia, Rashid Ghannoushi yang telah mencetuskan
wacana gerakan Islam yang baru itu juga telah dijangkiti parasit? Apakah
mungkin Dato ingin mengatakan bahawa Rashid Ghannoushi yang merupakan sumber
inspirasi perubahan fikrah pada gerakan-gerakan Islam moderat sedunia itu pula
merupakan bapa parasit?
Yakinlah Dato’, sepertimana
gerakan-gerakan tersebut telah berjaya mendapatkan majoriti undi di dalam
pilihanraya di negara-negara mereka kerana pendekatan baru ini, PAS juga sedang
meniti langkah tersebut. Inilah yang ditakuti oleh UMNO dan kerajaan BN. Pihak
lawan tidak mahukan PAS mendapat sokongan majoriti masyarakat Islam dan bukan
Islam di Malaysia. Pihak lawan mahu PAS kekal sebagai parti kampung milik Pak
Lebai dan Pak Haji. Pihak lawan juga tidak mahu PAS bangkit sebagai parti milik
semua rakyat Malaysia, mereka lebih selesa PAS dikenali sebagai parti ekstrimis
dan fundamentalis yang hanya tahu memotong tangan orang sahaja. Hanya dengan
wacana Islamis global yang baru ini sahajalah niat buruk mereka akan terhalang.
Malang sekali apabila Dato’ pula yang mula bercakap senada dan seirama dengan
pihak lawan menentang perubahan pada PAS. Lebih malang lagi kini Dato’ menjadi
suara pihak lawan untuk memaksa PAS kembali ke kerangka persepsi lama rakyat
terhadap mereka yang telah dilelong oleh pihak UMNO dan BN.
Saya yakin, di dalam PAS masih
terdapat segelintir yang termakan umpan Dato’ lantas mempercayai kewujudan
parasit. Mereka ini golongan yang ikhlas tetapi hanya kurang mendapat
pendedahan terhadap dunia luar sahaja. Ada di antara mereka juga yang
berkepentingan, lantas menggunakan hujah Dato’ untuk kekal berpengaruh, tetapi saya
yakin mereka ini teramat kecil bilangannya. Melalui pengamatan saya, PAS akan
terus menggalas harapan rakyat dan juga kefahaman Islam yang sebenar
berteraskan wacana baru gerakan Islam sedunia untuk menempuh hari muka mereka.
Seperkara yang perlu Dato’ ketahui, wacana baru gerakan Islam moderat ini juga
telah mendapat restu dari para ulama terkemuka seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr
Tawfiq al-Wa’ie, Dr Rashid al-Ghannoushi. Amat kasihan kerana Dato’ tidak dapat
bersama lagi dengan realiti baru ini.
Apabila melihat kepada isu
‘Negara Berkebajikan’ pula, pada hemat saya, setelah meneliti dokumen ‘Negara
Berkebajikan’ PAS dan membandingkannya dengan manifesto parti-parti Islam
moderat lain di dunia Arab, saya mendapati PAS ternyata senada dengan mereka yang
telah Berjaya di negara masing-masing. Saya berkeyakinan gagasan ‘Negara
Berkebajikan’ merupakan satu langkah drastik PAS di dalam membawa perubahan dan
menyuarakan persiapan mereka untuk muncul sebagai alternatif kepada parti
pemerintah yang sedia ada. Prinsip-prinsip konsepsual ‘Negara Berkebajikan’
yang dibentangkan di dalam dokumen tersebut dan juga cadangan mekanisme
perlaksanaannya merupakan satu anjakan paradigma bagi sebuah gerakan dakwah dan
parti politik yang telah matang seperti PAS. Jelas sekali PAS sudah melayakkan
dirinya untuk menyertai gelombang perubahan yang melanda gerakan Islam di
seluruh dunia dengan membuktikan bahawa golongan Islamis mampu dan bersedia
untuk berkongsi kuasa dan memerintah di dalam kerangka demokrasi dan tatakelola
yang baik. Malangnya, hal ini tidak disambut positif oleh Dato’, malah
dipandang sinis.
Melihat kepada isu hudud yang
Dato’ anggap telah ditinggalkan oleh PAS, saya kira itu juga agak kurang tepat.
Sebagai sebuah parti Islam, saya berpendapat PAS dilihat amat konsisten
memperjuangkan apa yang mereka yakini, iaitu kewajipan melaksanakan hukum
hudud. Apa yang menarik ialah pendekatan PAS yang terbuka untuk membicarakan
isu tersebut di ruang umum dan bersedia untuk meyakinkan rakyat melalui proses
pendidikan dan dakwah adalah sesuatu yang patut dihargai. Apa yang saya dapati
melalui metod obervasi ke atas ruang ‘discursive’ PAS selama ini, PAS tidak
memilih untuk memaksakan hudud ke atas orang lain secara kekerasan. Malah di
dalam banyak kenyataan PAS, mereka bersedia untuk mendengar suara majoriti di
dalam melaksanakan hukum jenayah Syariah itu. Pendekatan diplomasi PAS ini
harus dihormati kerana ia mencerminkan sikap professionalisme PAS dan
keterbukaan para pimpinannya. Saya kira kerana sikap konsisten PAS inilah yang
menyebabkan parti itu telah berjaya meraih sokongan ramai bukan Islam melalui
‘Kelab Penyokong PAS’.
Akhirkata, jika Dato’ benar-benar
ingin memperjuangkan aqidah dan memerangi gejala murtad yang dikatakan sebagai
mengancam umat Islam di Selangor, saya mempunyai pelan tindakan yang boleh
Dato’ lakukan berdasarkan kekuatan yang ada pada diri Dato’. Sebagai seorang
motivator yang begitu meyakinkan dan berupaya bermain dengan emosi orang ramai,
saya rasa sudah sampai waktunya Dato’ untuk turun padang bertemu dengan mereka
yang didakwa murtad berdasarkan senarai yang rakan-rakan Dato’ miliki. Mungkin
juga Dato’ boleh menggunakan kemahiran tersebut juga untuk berdakwah kepada
mat-mat rempit, tahi dadah, remaja berpeleseran yang terdapat di dalam negeri
Selangor secara sukarela tanpa sebarang bayaran. Jika dulu mungkin Dato’ sibuk
dengan tugas exco, kini Dato’ lebih mempunyai waktu lapang. Buktikanlah
kata-kata Dato’ yang ingin menjaga aqidah itu. Saya kira Dato’ juga boleh
berdakwah di Hard Rock Café menyeru umat Islam agar bertaubat dan menghayati
agama Islam. Saya pasti pemilik Hard Rock Café tidak akan menghalang kerja
murni Dato’ itu. Saya yakin 10,000 atau lebih orang yang turut berHIMPUN
bersama Dato’ untuk menyelamatkan aqidah umat Islam boleh Dato’ kerahkan dari
seluruh negara untuk sama-sama turun padang demi menyelamatkan aqidah umat
Islam secara praktikal. Saya amat meyakini, jika Dato’ berdakwah seperti itu,
Dato’ akan tetap dikenang kawan ataupun lawan sebagai ‘pejuang aqidah yang sebenar!’.
UIAM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan