Khamis, 19 April 2012

MAKCIK KAMARIAH YANG TAK KU KENAL

Jom berkenalan dengan makcik ni.....ilmu simpan emas




beli emas guna duit kutuBANGGA…Kamariah menunjukkan sebahagian barangan kemas hasil kegigihannya bermain kutu.
“KALAU diikutkan, semua orang ada saja benda mahu dibeli, termasuk saya yang sentiasa terfikir untuk membeli emas. Disebabkan mahal, saya terpaksa bermain kutu dengan rakan untuk memiliki emas,” kata peniaga ayam di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kamariah Md Hanafi, 50.
Kamariah menganggap membeli emas sebagai pelaburan menguntungkan kerana ia boleh dijadikan aset berikutan harganya sentiasa meningkat.
Katanya, bermain kutu cara paling praktikal bagi mereka yang tidak mampu atau tidak memiliki banyak wang.
“Saya menempah barang kemas sebulan sebelum menerima duit kutu. Sebaik menerima wang, saya terus ke kedai emas dan mengambil tempahan.
“Sebagai contoh, setiap seorang daripada 25 pemain kutu membayar RM50 sehari. Kami membuat cabutan 10 hari sekali dan setiap penerima mendapat RM12,500.
“Kaedah ini dilakukan sejak bertahun-tahun lalu dan ia membantu kami mengumpul banyak wang pada satu-satu masa,” katanya.
Dia yang berniaga ayam segar sejak 24 tahun lalu mengakui perniagaannya banyak membantunya memberi pendapatan tetap, sekali gus membolehkannya menyertai rakan lain bermain kutu.
Katanya, permainan kutu tidak tamat selepas masing-masing mendapat habuan, sebaliknya diteruskan supaya setiap pemain mempunyai sumber kewangan sampingan.
“Jika mahu lebih banyak wang kutu, saya akan memasukkan tiga nama iaitu anak dan adik sebagai penama.
“Itupun terpulang kepada sasaran yang hendak dibeli dan memang satu kepuasan apabila mendapat duit kutu kerana ia juga boleh digunakan untuk melangsaikan hutang lama dan menanggung anak yang masih belajar,” katanya.
Wanita gigih itu menegaskan, hasil duit kutu bukan saja membolehkannya membeli barang kemas, malah digunakan untuk membeli sebuah rumah berharga hampir RM200,000.
Kamariah berkata, minatnya terhadap barangan kemas sebenarnya diwarisi daripada arwah bapanya, Hanafi Ibrahim yang menjadi tukang emas.
Katanya, kehebatan ukiran arwah bapanya yang terkenal dengan panggilan ‘Napi tukang emas’ memberi laluan mudah kepadanya untuk membeli barang kemas di kebanyakan kedai di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
“Arwah bapa bersahabat baik dengan seorang perintis emas tersohor di negeri ini. Namun, disebabkan ayah hanya pandai bertukang tapi kekurangan modal untuk membuka kedai emas, saya memanfaatkan kepakarannya dan kini saya pula menjadi ‘ketua kutu’ kepada rakan peniaga lain,” katanya.
Sambil menunjukkan sebahagian barangan kemas miliknya, Kamariah yang lebih mesra dengan panggilan Kak Yah mendakwa dengan hasil pelaburan itu, dia mampu membesar dan menanggung pelajaran anak hingga ke universiti.
Bagaimanapun, katanya, membentuk pasukan kutu tidak semudah disangka kerana bakal berdepan risiko seperti ahli yang tidak jujur.
“Bermain kutu memerlukan ahli yang boleh dipercayai. Saya sebagai ketua akan memilih ahli daripada rakan peniaga di sekeliling kami.
“Lagipun, kami sudah lama saling mengenali dan kebanyakan mereka ialah peniaga keropok, barangan runcit, buah-buahan dan peniaga kain.
“Kami kenal lebih 20 tahun kerana sama-sama berniaga di pasar sama. Ia juga memudahkan ‘urusan’ me ngutip duit kutu setiap hari,” katanya yang berasal dari Tumpat, 10 kilometer dari Kota Bharu.

http://www.hmetro.com.my/articles/Beliemasgunaduitkutu/Article/artikelMA

Tiada ulasan:

Arkib Blog

Catatan Popular