Khamis, 9 Ogos 2012

ARRAHNU @ POS MALAYSIA

Selepas Arrahnu Agrobank mengeluarkan peraturan baru yang menyusahkan pengadai emas (yang tidak cukup ilmu sebelum merempit)
Kerjasama antara Bank Muamat dan Pos Malaysia mungkin boleh menjadi alternatif kepada mereka. Tapi ingat, merempit ada tujuan. Jangan belanja ikut suka tanpa perancangan .





Pos Malaysia Berhad hari ini melancarkan satu lagi perkhidmatan iaitu pajak gadai Islam di bawah jenama ArRahnu@POS, yang merupakan pilihan perkhidmatan mudah, mematuhi aspek Syariah dan bagi menukar barang kemas kepada bentuk wang tunai.Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz yang melancarkan perkhidmatan itu di sini hari ini berkata ia bakal memberi faedah terutama kepada golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil yang memerlukan sumber pembiayaan segera, mudah dan pada kadar yang berpatutan.
“Pos Malaysia merupakan sebuah agensi di bawah kementerian, jadi orang ramai lebih yakin kerana kerajaan secara tidak langsung terlibat dalam menjamin keselamatan barang kemas yang disimpan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan itu di cawangan Pos Malaysia Bandar Baru Bangi.

Maglin berkata buat masa ini dua cawangan menawarkan perkhidmatan itu iaitu di sini serta di Kuala Terengganu memberi pinjaman wang berjumlah lebih RM600,000 sejak beroperasi Julai lalu.
Beliau berkata setiap transaksi dilakukan dengan pantas oleh petugas yang telah diberi latihan sewajarnya, dan apabila diperluaskan ke semua lebih 700 cawangan Pos Malaysia di seluruh negara kelak perkhidmatan itu akan memberi kemudahan kepada orang ramai terutama mereka di kawasan pedalaman.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Datuk Khalid Abdol Rahman berkata perkhidmatan itu merupakan satu lagi usaha Pos Malaysia menjadi pusat setempat pelbagai jenis perkhidmatan.
 
Beliau berkata ia mampu membasmi kemiskinan melalui penyediaan pembiayaan kepada peniaga kecil dan menggalakkan pinjaman tanpa faedah kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira agama, keturunan dan status.

“Saiz pasaran pajak gadai berasaskan syariah ini sangat besar iaitu sehingga RM2 bilion. Kita merasakan ini adalah satu perkhidmatan yang akan memberi faedah yang besar dan kita mensasarkan ArRahnu@POS ini akan menjadi salah satu perniagaan teras di Pos Malaysia,” katanya.

Khalid berkata sebanyak 50 cawangan ArRahnu@POS disasarkan di seluruh negara bagi tahun kewangan berakhir Mac tahun depan, dan 50 lagi untuk tahun kewangan berikutnya.

ArRahnu@POS merupakan kerjasama strategik di antara Pos Malaysia yang memiliki 80 peratus ekuiti dengan Bank Muamalat, baki 20 peratus ekuiti, kedua-duanya di bawah naungan Kumpulan DRB-Hicom.

Dikendalikan oleh Pos ArRahnu Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat Pos Malaysia, ArRahnu@POS menerima barang kemas yang mempunyai nilai emas tidak kurang daripada 75 peratus, dengan kadar upah simpan dari 60-80 sen setiap bulan untuk setiap RM100 nilai emas, bergantung kepada nilai pasaran.

Jumlah maksimum pinjaman sehingga RM100,000 untuk setiap pelanggan, manakala tempoh matang pinjaman adalah enam bulan dan tempoh tersebut boleh dilanjutkan tetapi tertakluk kepada terma dan syarat tertentu.

Tiada ulasan:

Arkib Blog

Catatan Popular