Selasa, 8 Mac 2011

FAEDAH STANDARD EMAS

Faedah utama standard emas adalah ia memastikan tahap inflasi yang rendah. Sebagaimana yang kita tahu, inflasi disebabkan oleh empat faktor:

  1. Bekalan wang naik
  2. Bekalan barangan turun
  3. Permintaan wang turun
  4. Permintaan barangan naik
Selagi mana bekalan emas tidak berubah terlalu cepat, maka bekalan wang akan stabil secara relatif. Standard emas mengelakkan negara dari mencetak wang terlalu banyak. Jika bekalan wang meningkat terlalu cepat, maka orang akan menukar wang (yang kini menjadi bertambah banyak) untuk emas (yang tidak banyak). Jika perkara ini berlangsung terlalu lama, maka jabatan perbendaharaan akhirnya akan kehabisan emas. Standard emas menyekat bank pusat daripada membuat dasar yang menggalakkan pertumbuhan besar jumlah wang beredar dalam negara untuk menyekat kadar inflasi. Standard emas juga menstabilkan pasaran matawang asing.

Contohnya jika Malaysia berada dalam standard emas dan telah menetapkan harga emas adalah RM1,000 per auns, dan Indonesia juga pada standard emas dan menetapkan harga emas pada 5,000 Rupiah per auns, maka RM1 Malaysia harus bernilai 5 Rupiah. Penggunaan menyeluruh standard emas menetapkan nilai tukaran asing. Jika semua negara berada pada standard emas, maka hanya ada satu matawang sebenar iaitu emas di mana semua matawang mendapatkan nilainya. Kestabilan standard emas menyebabkan pasaran matawang asing juga stabil.

Selain itu, standard emas menggalak negara untuk lebih produktif. Apabila negara mengeksport lebih banyak barang, mereka dapat mengumpulkan lebih banyak emas. Mereka kemudian boleh mencetak lebih banyak wang, yang boleh digunakan untuk pelaburan dan meningkatkan perniagaan yang menguntungkan.

Standard emas juga telah mendorong penjelajahan dunia. Ia salah satu sebab mengapa Sepanyol dan negara-negara Eropah yang lain membuat penjelajahan mencari Dunia Baru pada tahun 1500an iaitu untuk mendapatkan lebih banyak emas dan meningkatkan kemakmuran negara. Emas juga memberi inspirasi kepada “Gold Rush” di California dan Alaska ketika tahun 1800an.

Penggunaan semula standard emas dan kesan kepada ekonomi moden

Penggunaan semula standard emas akan menyekat kemampuan kerajaan untuk menguruskan ekonomi. Kerajaan tidak akan dapat lagi mengurang jumlah wang beredar di dalam sistem ekonomi dengan menaikkan kadar faedah untuk mengawal inflasi, atau meningkatkan bekalan wang dengan menurunkan kadar faedah pada zaman kemelesetan. Dengan kata lain, jumlah wang beredar di dalam sistem ekonomi adalah konstan. Malah, inilah sebab mengapa penyokong standard emas mahukan sistem ini digunakan semua. Ia akan memaksa kerajaan lebih berdisiplin dalam menguruskan ekonomi, membuat bajet yang seimbang, dan menyekat campur tangan kerajaan.

Penggunakan semula standard emas juga akan memberi kesan kepada sistem ekonomi dunia moden yang didominasikan oleh Amerika Syarikat. Kerajaan Amerika misalnya tidak dapat berubah ke standard emas jika semua negara lain tidak berubah. Jika kerajaan Amerika berubah ke sistem standard emas, dunia akan menuntut AS menggantikan dolar dengan emas. Kerajaan Amerika tidak mempunyai cukup emas untuk membayar hutangnya kepada pelabur asing. Contohnya, China, Jepun dan negara-negara lain meminjamkan Amerika Syarikat $3.2 trilion dengan membeli bon kerajaan AS berbanding hanya $223 bilion rizab emas yang disimpan oleh AS di Fort Knox.[1]

Tiada ulasan:

Arkib Blog

Catatan Popular